Pantai Miri Mengundang Memori: Bahagian Akhir
Posted by syazfina at 11:11 AM on February 14, 2004.
......Nenek menyambut gembira kedatangan kami. Kalau di Sarawak, panggilan nenek digunakan untuk kedua-dua lelaki dan perempuan - contohnya macam datuk sebelah mak Fina dipanggil Nek Bey.
Rumah yang sederhana besarnya itu didiami oleh mereka berdua sahaja. Nenek menyuruh letakkan beg dalam kamar tidur bahagian hadapan rumah. Terkenang pula, waktu pertama sekali masuk bilik ini tahun lepas bila bertandang ke sini selepas mesyuarat - teringat pula dengan bilik Kak Hany di Limbang. Masih seperti dulu. Barang-barang Kak Hany masih tersimpan kemas bagai masih di zaman akhir 90-an dulu.

Losyen New & Trendy, minyak bayi yang selalu digunakan membelai rambut Kak Hany yang panjang masih di tempatnya.

Betapa sayangnya nenek berdua dengan Kak Hany, ingatan mereka terhadapnya takkan pernah luput. Lupa pula memberitahu suami tentang hal ini - lancar suami menanya nenek, gambar siapa di dinding, gambar graduate.
"Tu gambar si Hany.."
Nenek berlalu ke dapur.
"Alamak, awak dah tanya soalan cepu emas yang paling sensitif! Lupa nak bagitau......" bisikku.
Lepas itu aku ceritakan kepada suami perihal Kak Hany. Nenek berdua tiada beranak sendiri - Kak Hany ini anak angkatnya. Menurut cerita mak, Kak Hany ni anak seorang perempuan Cina. Suatu masa dulu ketika tengah di sawah padi, ada seorang perempuan Cina datang meminta bantuan nenek menjaga anaknya sebentar. Tetapi perempuan Cina itu tak pernah kembali menuntut anaknya, lantas anak tersebut diangkat oleh nenek, dan dibesarkannya sampailah ke menara gading dan sampai berkahwin. Kak Hany berubah selepas berkahwin - dia tak pernah walau sekalipun mengutus surat dan khabar berita, jauh sekali hendak menelefon. Surat nenek tidak berbalas, panggilan telefon nenek tidak mahu dijawab. Kini sudah beranak lebih dari tiga, tidak pernah sekalipun diberitahu kepada nenek. Nenek hanya mengetahui berita dari orang lain. Kepada orang lain, Kak Hany memberitahu nenek dahulunya jahat, selalu memarahi dan memukulnya.
Tapi bila melihat wajah pasangan suami isteri di hadapanku, ditambah dengan pengalaman bersama mereka selama ini - tidak dapat dibayangkan mereka berbuat begitu. Nenek lelaki pelembut orangnya, nenek perempuan memang ada sedikit tegas - tetapi bersikap kejam sehingga anak yang dibesarkan berdendam sampai begitu sekali? Pelik rasanya.
Nenek menjamu kami dengan pelbagai hidangan ringkas masakannya sendiri. Kami dilayan dengan begitu baik, mengalahkan hotel 5 bintang gitu. Masa beginilah mengambil peluang merehatkan badan dan fikiran. Nenek amat memahami, lantas mengesyorkan kami berehat sahaja. Biarkan semua kerja nenek yang buat.
Tak apa lah nek... kami pun boleh tolong.
Suami taat mengikut nenek lelaki. Nenek lelaki nampaknya gembira dan sedikit terkejut, maklumlah, selama ini, menantunya sendiri pun tidak pernah melayannya sebegini. Walaupun agak sukar untuk berkomunikasi kerana bahasa yang agak berbeza - nenek menggunakan bahasa Kedayan yang agak baru di telinga suami. Menemani nenek perempuan juga amat mendamaikan. Pelbagai tips dan nasihat dapat dikumpul.
Keesokan harinya suami dan nenek lelaki ke pasar membeli barangan keperluan rumah. Hari sudah mula mendung - dalam hati aku ingin mengajak suami berjalan di pantai, dan singgah di tempat menuntut ilmu suatu ketika dulu yang tak jauh dari situ.
Selepas makan tengah hari, aku memberitahu nenek yang kami merancang untuk keluar berjalan-jalan. Ingatkan hendak menaiki bas berdua sahaja, malas mahu menyusahkan nenek - lagipun kami sedia maklum tentang kesihatan mereka - tetapi rupa-rupanya mereka turut berkemas, ingin ikut sama dan membawa kami berjalan-jalan. Hasilnya nenek pun memandu vannya, membawa kami semua menyusuri pantai Miri. Selepas itu nenek membawa kami ke Taman Awam Miri, atau lebih dikenali dengan 'Tempat Jambatan Gantung'.


Cantik juga - sebahagian daripada taman ini masih dalam fasa pembinaan. Suami mencuba berjalan di atas lorong batu-batuan yang kononnya mempunyai efek kesihatan seperti refleksologi.

Wah... tajam dan sakitnya. Sendiri tak sanggup nak berjalan lengkap satu pusingan, suami pergi berjalan sendiri.
Berjaya juga dia habiskan satu pusingan... mak aih... mesti sakit kaki lepas ni. Hehehe...
Kelihatan nenek sudah kepenatan. Mereka menyuruh kami menghantar mereka pulang, dan kemudiannya menyambung berjalan sendiri jika mahu.
Kami pun meninggalkan Taman Awam Miri menuju ke rumah. Dalam perjalanan nenek perempuan ingin singgah di rumah sepupunya. Wah, lama tidak mendengar bahasa Kedayan digunakan sepenuhnya, suami pula tercengang tidak dapat menangkap butir kata.
Sampainya di rumah, kami minta izin untuk sambung berjalan - bukannya apa, ingatkan hendak mencari barang yang boleh dihadiahkan kepada nenek. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Sempat-sempat membeli minyak sampai penuh sahaja. Kami pulang dengan tangan kosong, tapi dengan tangki minyak yang penuh

Esoknya tibalah hari yang terakhir di Bandar Miri. Suami kata, dia taknak balik!
Paginya mengikut nenek ke bandar, membeli mentol lampu menggantikan yang sudah terbakar di rumah. Nasib baik ada suami yang membantu, membuka mentol yang rosak di siling. Aku sempat belikan satu buku kupon parking untuk nenek. Selama ini dia tidak pandai mengguna kupon, terpaksa letak kereta jauh sedikit mengelak tempat letak kereta berkupon. Sanggup berjalan jauh sedikit katanya. Kasihan mereka! Selepas itu aku mengajar nenek cara-cara menggunakan kupon tersebut. Di kedai lampu pula, nenek menolak bila suami hulurkan duit untuk membeli mentol...
Selepas itu kami ke pasar tamu mencari buah tangan untuk dibawa pulang. Dah tak ada idea lain, beli buah salak sahaja. Aku tau mak mertuaku suka makan buah salak. 3 kilo hanya RM 5.
Balik ke rumah untuk mengemas barang pulang.
Nenek berkali kali menyatakan, "Sunyilah nenek kamu berdua tidak ada disini lagi selepas ini..."
Sayu.
Nenek menghantar kami ke lapangan terbang Miri yang baru. Setelah check in, suami menghulur sampul surat berisi wang, kerana kami tidak sempat membeli apa-apa tanda terima kasih kami semalam. Nenek beria-ria menolak. Nak buat macam mana.
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada nenek, aku dan suami masuk ke balai berlepas. Masuk balai berlepas bersama-sama, tapi bakal naik kapal terbang berlainan.
Penerbangan aku dijadualkan jam 3.35 petang, manakala penerbangan ke KL secara terus dari Miri yang akan dinaiki oleh suami dijadualkan berangkat jam 3.50 petang. Mengajak suami duduk di bahagian hadapan, dapat melihat pelbagai model kapal terbang terutamanya kapal terbang kecil seperti Fokker 50 dan Twin Otter. Teringat pula zaman di Limbang dulu, menggunakan Twin Otter dari Miri ke Limbang. Yang lucunya, kita kena timbang sekali dengan barang-barang!
Akhirnya tiba masanya untuk aku pergi pulang ke Kuching menaiki pesawat Fokker 50. Menyalam tangan suami, hati merintih pilu kerana takdir menentukan kami berpisah lagi.
Cekalkan hati, berbekal kenangan di Pantai Miri yang mengundang memori....................................
- TAMAT -
Di pantai Miri
Ombak menghempas pantai
Aku terkenang.
Memori indah
Bersama Nenek Limbang
Tumpang berehat.
Terima kasih
Bandar Miri ku kenang
Rindu kembali....
11 dah cakap
Anonymous (guest)
Anonymous (guest)
Anonymous (guest)
Sri Diah (guest)
Semoga Fina tabah menghadapi dugaan ini. Yang penting ialah persefahaman, saling tolak ansur dan jangan suka salah menyalahkan sesama kita. Jika betul kita silap, mintak maaf. Atau jika dia tersilap, maafkan dia.
Sekian. Wasalam.
syazfina

Terima kasih kerana sudi memberi pandangan dan nasihat. Maklumlah, kami baru lagi dalam alam berumahtangga.. perlu ada yang beri petunjuk dan pedoman agar hidup berkeluarga lebih bahagia. Insya Allah Fina akan hadapi dugaan ini sebaiknya.
mal (guest)
syazfina

Last-last pegi sempadan (Serikin, Tebedu) beli barangan negara seberang.... hehehe :P
ilah (guest)
ada beberapa soalan yg ingin di tanya
1)tak duduk sekali ngan husband ke?
2)kerja ngan tinggal kat mana sebenarnya..hehehhe confius lagi
Apapun, ilah rasa ilah suka lelaki yg macam husband fina, bleh masuk ngan org tua, bleh buat kerja2 rumah..ermm payah nak carik lelaki yg macam tu....
semoga rumah tangga yg di bina akan berkekalan hingga ke akhirnya
p/s fina kahwin umur baper?
syazfina

Jawapan kepada soalan:
1) Tak. Huhuhuhuu :(
2) Fina kerja kat Kuching, Sarawak. Suami kerja kat Cyberjaya. Sebulan sekali je jumpa, tuh pun kalau ada peruntukan nak beli tiket kapal terbang (selalunya kena ada hehehe :P)
Pasal melayan orang tua ni... sebenarnya nak kena belajar dan mengajar. Tapi kalau hati ikhlas, Insya Allah naturally kita akan buat apa-apa yang patut.
Suami Fina tu, kalau kerja rumah yang bersesuaian dengan 'imej' lelaki tuh dia cepat lah. Tukar mentol ke, bertukang ke, baiki paip dan alat elektronik ke kan.. perempuan pulak kena la cepat buat kerja ber'imej' perempuan (padahal malas betul hehehe :P) - adil la kan? hehehe...
Alhamdulillah, setakat ni role sebagai suami/isteri kira ok lagi la. Tatau la kalo dah duduk sekali kang. Harap-harapnya cukup praktis.. hehehe... masak-memasak semua tuh... hehehehe....
p/s: Fina kawin umo 22! hehehe... ok tak? Ni semua suami nye pasal nak kawin awal! hehehe :P
Anonymous (guest)
Sedih pula bab penutup cerita Miri ni. Tak pe, perjalanan perkahwinan masih panjang. Berkat sabar, Insya-Allah satu hari nanti bahagia hidup sebumbung.
Tapi Kak Su ada kawan2 yang sejak dari awal perkahwinan, sentiasa hidup berasing rumah tapi aman bahagia. Mula2 kahwin, parah juga mendidik hati, lama-lama terbiasa. Mungkin Allah uji begini kerana mereka memang kuat hati.
Ada dua sahabat baik, dah 20 tahun kahwin, dari mula kahwin, hidup lain bandar, sampai laa ni. Bukan dekat, sorang ni, sejak kawin, dia di KL, suami mula di Miri, Sabah, Indonesia, Sudan, dan baru2 ni entah kena posting ke negara mana. Sekarang dah kata orang alah bisa tegal biasa. Kawan ni tak ikut suami sebab kerja dia memerlukan sentiasa ikut menteri. Sampai kata sahabat ni, rasa macam dah seronok pula, 20 tahun bos sendiri di rumah, suami balik sekali2.
Sorang lagi sejak kawin, suami di pelantar minyak, sampai sekarang, sampai laa ni kawan ni kata, kalau suami lama sikit di rumah, tak ke pelantar, dia dan anak2 dah rimas. Sebab dah terbiasa best rumah tak de orang lelaki. Baru2 ni bila suami ambik cuti sebulan lebih, anak2 mengeluh. Dah terbiasa ayah balik sekali2. Bebas dan relaks. Ayah garang. Walau begitu, rumah tangga tetap bahagia walau berlain sikit dari orang. :)
Apa pun lain bahtera lain ragam. Semua ini perencah latihan untuk masa depan yang lebih gemilang. Tak kiralah masa depan di dunia atau akhirat.
Semoga Fina sihat dan gembira. Selamat pagi, Fina. Rajin2lah lagi bercerita macam ni. :) Wassalam.
syazfina

begitulah, hidup berjauhan suami isteri, ada manis, ada pahitnya. Yang mana satu sekalipun, harus juga ditelan.
Memang benar lain bahtera lain ragamnya. Perlu ada sefahaman untuk sama-sama mengendali keluarga, mesti tepat dengan situasi. Itupun belum lagi masuk campur tangan orang di luar lingkungan keluarga - mertua, majikan misalannya.
Itulah yang kadang-kadang menambah garam di luka tanpa sedar, dan boleh jadi bahan ungkitan menjurus kepada pertelingkahan.
Alhamdulillah, setakat ini walaupun ada sedikit tergelincir beberapa kali, masih lagi boleh bangun sendiri, malah lebih teguh lagi. Bukannya apa Kak Su, kita kesian tengok suami makan pakainya tak terurus... itu saja. Kalau begitu baik membujang, sama saja - kalau kita nak mengandaikan begitulah kan.
Tapi itu baru fizikal saja, emosi dan mental juga kena selalu diingatkan bahawa ini adalah ujian Allah semata.
Bagi Fina yang boleh dikatakan masih 'hijau' lagi dalam hidup berumahtangga ini, silalah beri tunjuk ajar. Lagipun kami berdua tidak sanggup mahu mengulangi sejarah ibu bapa kami. Cukuplah derita sampai setakat kami saja yang mengalaminya.
Terima kasih Kak Su atas dorongan dan semangat yang ditiupkan. Seronok juga mendengar keluarga Kak Su berjalan, mahu juga buat catatan perjalanan kami suami isteri ke mana mana.
Seperti selalunya, Kak Su sentiasa dalam ingatan dan harapan agar keluarga Kak Su sentiasa dihujani rahmat Allah swt hendaknya.
Wassalam.